Wednesday, 14 May 2014

Apakah El Niño

Setiap tiga ke tujuh tahun, suatu arus laut yang panas menggantikan arus laut yang kebiasaannya sejuk di luar pantai barat Peru, Amerika Selatan. Fenomena lautan yang ini disebut sebagai El Niño. Pemanasan lautan ini didapati berlaku di kawasan yang lebih luas meliputi Pasifik tengah dan timur serta mempunyai kaitan dengan peristiwa cuaca luar biasa yang ketara di tempat-tempat tertentu di dunia seperti banjir yang teruk dan kemarau yang berpanjangan. Di Asia Tenggara, Indonesia dan Australia, berlaku keadaan cuaca lebih kering dari normal sementara di Pasifik tengah dan timur berhampiran khatulistiwa kebiasaannya mengalami keadaan lembap.
Secara lazimnya, El Niño berlaku untuk tempoh 9 hingga 18 bulan. Biasanya ia mula terbentuk pada awal tahun, berada di kemuncak pada akhir tahun dan menjadi lemah menjelang awal tahun berikutnya. El Niño yang mempunyai keamatan yang sama tidak semestinya menghasilkan corak iklim yang sama.
Semasa El Niño berlaku, suhu air laut yang lebih panas di Pasifik tengah dan timur membekalkan haba dan lembapan tambahan kepada atmosfera yang berada di atasnya. Ini mendorong pergerakan menaik yang kuat dan dengan demikian merendahkan tekanan permukaan di dalam kawasan berpergerakan menaik itu. Udara lembap yang naik itu terpeluwap lalu membentuk kawasan ribut petir yang luas dan hujan lebat di kawasan berkenaan. Di bahagian barat Pasifik termasuk Malaysia, tekanan atmosfera meningkat, menyebabkan cuaca menjadi lebih kering secara relatifnya.



Semasa El Niño terbentuk, tekanan permukaan atmosfera rendah terletak di permukaan lautan yang lebih panas ditandakan dengan warna merah di khatulistiwa tengah Pasifik. Semasa ketiadaan El Niño atau keadaan normal, tekanan permukaan atmosfera di Pasifik barat biasanya rendah manakala di tengah dan timur Pasifik adalah tinggi. Dalam keadaan ini, umumnya keadaan kawasan Pasifik barat adalah lembap manakala Pasifik tengah dan timur adalah kering.



Corak tekanan permukaan atmosfera yang berselang-seli di kawasan tropika Lautan Pasifik, yang mana keadaan lautan bertukar dari El Niño kepada keadaan normal dan sebaliknya dikenali sebagai Ayunan Selatan (SO). Gandingan hubungan di antara atmosfera dan lautan semasa kejadian El Niño ini dikenali sebagai El Niño-Ayunan Selatan (ENSO).




Apakah impak yang tipikal di Malaysia?
Dengan kehadiran El Niño yang sederhana atau kuat, taburan hujan di Sabah dan Sarawak akan berada jauh di bawah paras purata semasa monsun barat daya (Jun-Ogos) dan monsun timur laut (November-Februari), sebaliknya di Semenanjung Malaysia taburan hujan adalah di bawah paras purata hanya semasa monsun barat daya (Jun-Ogos).
Keadaan El Niño yang lemah dikenalpasti memberi impak yang minimum kepada taburan hujan di Malaysia. Tambahan pula, taburan hujan di bawah dan atas paras purata boleh juga berlaku dalam tahun-tahun yang bukan El Niño/La Niña.
Sumber : www.met.gov.my



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

”related