Tuesday, 27 May 2014

Masalah Perkakasan Komputer

Tak dinafikan, kadangkala peranti komputer mengalami masalah kecil yang sebenarnya boleh diatasi sendiri. Tak perlu membazir duit menghantarnya ke kedai, lakukan pemeriksaan awal dulu kerana kamu pasti menepuk dahi berikutan penyelesaiannya lebih mudah daripada jangkaan.

Biasalah, orang muda mana tahan sabar, tak mungkin boleh menunggu mencari punca masalah terutamanya urusan yang perlu diselesaikan segera. Jadi penyelesaian paling mudah, hantar saja ke kedai dan mulalah pakar komputer mengatakan masalah itu dan ini.

Padahal kalau kita tahu dan ada pengetahuan mengenai komputer, masalah mudah seperti operasi komputer perlahan, berbunyi dan serangan virus masih boleh kita selesaikan sendiri.




Masalah berkaitan perkakasan komputer.

1. Gangguan bekalan kuasa - Jika kamu selalu mengalami gangguan kuasa dan masalah voltan secara tiba-tiba, ia boleh menyebabkan kerosakan teknikal yang turut menyebabkan kerosakan perkakasan dan kehilangan data. Jangan ambil mudah jika ia selalu berlaku.

Penyelesaiannya mudah dengan menggunakan Uninterruptible Power Supply (UPS). Ia akan menyediakan aliran tenaga kuasa berterusan kepada komputer walaupun menghadapi gangguan kuasa secara tiba-tiba. Ia akan menyediakan kamu masa mencukupi untuk menyimpan data dan menutup PC terlebih dulu jika perlu.


2. Kepanasan - Sering kali berlaku kes komputer atau laptop tidak memiliki sistem penyejukan mencukupi yang tidak mampu menampung kerja yang kamu sedang lakukan. Apabila ini berlaku, komponen komputer atau laptop itu mulai menjana haba berlebihan semasa beroperasi.

Untuk mengelakkan masalah ini berterusan, matikan komputer atau laptop kamu terlebih dulu dan biarkan ia sebentar. Selain itu, periksa pada kipas bagi memastikan ia berfungsi dengan baik. Untuk laptop, jangan biarkan ia di atas lantai semasa bekerja, sebaliknya dapatkan kipas tambahan sebagai sokongan penyejukan.


3. Bunyi asing dan getaran - Masalah ini hampir pasti berkaitan perkakasan pada komputer kamu. Bunyi yang bernada tinggi biasanya disebabkan perkakasan elektronik. Walau apa pun alasannya, kamu boleh cuba melakukan pemeriksaan awal.

Bagi menyelesaikannya, buka CPU kamu berhati-hati untuk mengetahui masalah itu. Periksa sama ada ia datang daripada kipas atau wayar atau skru longgar daripada kedudukan asal. Jika ia bukan berpunca daripada dua masalah itu, jangan usik komponen lain dan dapatkan bantuan yang lebih pakar.


4. Selalu ‘reboot’ sendiri - Masalah yang biasa dialami komputer ialah kadangkala akan berulang kali ‘reboot’ sendiri tanpa permintaan. Laptop terutamanya selalu berdepan masalah seperti ini. Kes ini selalunya disebabkan perkakasan komputer itu sendiri.

Penyelesaiannya mudah. Periksa keadaan semasa bekalan kuasa yang anda gunakan sama ada kamu sudah mengalami kerosakan ataupun masih dalam keadaan baik. Selain itu, mungkin kipas penyejuk kamu telah kotor menyebabkan habuk yang terkumpul pada kipas akan mempercepatkan pemanasan dan menyebabkan komputer kamu mati secara automatik.


5. Sambungan USB tidak berfungsi - Kadangkala apabila kamu cuba menyambung peranti seperti pencetak, scanner, kamera web dan lain-lain melalui USB ke komputer, laptop, notebook atau sebagainya, ia tidak berfungsi. Sebenarnya, sesetengah port hab USB, monitor atau peranti lain yang digunakan sebagai perantara tidak memberikan kuasa yang mencukupi untuk menyokong peranti itu.

Ia memerlukan hab yang memiliki kod kuasa tersendiri untuk berfungsi dengan baik.

Penyelesaiannya, cuba untuk terus menyambungkan USB secara langsung ke salah satu port USB komputer kamu tanpa sebarang perantara. Peralatan kecil seperti pemacu USB, tetikus dan lain-lain memiliki kod kuasa sendiri tetapi elak menggunakan perantara bagi peranti yang memerlukan lebih kuasa.


6. Masalah mesin pencetak - Pertama sekali perkara yang perlu dilakukan adalah sambungkan secara tepat pencetak ke komputer kamu mengikut arahan pengilang pencetak kamu. Kemudian cuba ‘troubleshooter’ untuk mengetahui masalah pencetak yang akan mendiagnosis secara automatik dan menyelesaikan masalah kamu.

Penyelesaian khusus untuk mereka yang menggunakan perisian Windows 7, buka troubleshooter pencetak dengan klik pada ‘start’, kemudian ‘control panel’, taipkan ‘troubleshooter’ pada kotak carian, troubleshooting di bawah ‘hardware and sound’, klik pada ‘use a printer’ dan seterusnya ‘next’.


Sekiranya kamu berdepan masalah berkaitan tindak balas pada komputer kamu.

7. Prestasi komputer semakin perlahan - Apabila menyedari komputer kamu mulai perlahan dengan ketara tidak sepadan dengan usianya, masalah yang mungkin dialami antaranya adalah telah dimuatkan dengan fail yang tidak perlu, pecahan data, ‘registry korup’, gangguan program ‘spyware’, perkhidmatan atau perisian.

Penyelesaian mudah dengan uruskan program dan padam data dan perisian yang tidak perlu, bersihkan ‘registry’ dengan lebih kerap bagi membantu meningkatkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kelajuan prestasinya.

Cara membuang perisian yang tidak perlu atau tidak digunakan adalah dengan pergi ke Windows 7, butang ‘start’, ‘control panel’, lihat pada ‘programs’, ‘uninstall a program’, pilih program atau perisian dan klik ‘uninstall/change/repair’.

Kamu perlu berhati-hati supaya tidak terbuang program atau perisian yang penting.


8. Ralat mesej ketika ‘start-up’ - Pernah mengalami situasi ketika menghidupkan komputer, kamu dapat melihat mesej ralat pada skrin seperti ‘mpclink.xyz’ hilang atau rosak dengan diminta klik pada sebarang kekunci untuk meneruskannya.

Jika melihat mesej ini, kamu perlu menekan kekunci kira-kira lapan hingga 10 kali sebelum penyambungan Windows semula. Ini berlaku kerana kamu hanya memadamkan sesuatu program tetapi tidak menyahaktifkan pemasangannya.

Jika kamu benar-benar ingin membuang sesuatu aplikasi atau program, ikuti seperti langkah di atas.


9. Skrin tidak berfungsi - Apabila skrin kamu tidak membenarkan sebarang tindak balas dilakukan atau dalam erti kata lain membeku, kamu mengalami risiko kehilangan apa-apa kerja yang masih belum disimpan. Puncanya boleh dikatakan kerana RAM tidak mencukupi, konflik registry, fail korup atau hilang dan ‘spyware’.

Apabila ini berlaku, kamu tiada pilihan selain terpaksa reboot komputer kamu. Tekan dan tahan butang kuasa sehingga komputer dimatikan, kemudian mulakan semula untuk kerja pembersihan sistem supaya ia tidak berulang.


10. Serangan virus dan ‘spyware’ - Ia ialah sesuatu perkara normal yang berlaku kepada setiap peranti pengkomputeran yang sentiasa aktif di talian. Sudah menjadi kebiasaan bagi setiap pengguna untuk memiliki sekurang-kurangnya satu perisian sekuriti seperti antivirus untuk mengawalnya daripada terus merebak dan merosakkan sistem komputer kamu.

Tapi, bagaimanakah jika serangan itu begitu menjadi-jadi tatkala perisian sekuriti kamu masih belum dikemas kini?

Penyelesaiannya? ‘Windows Defender’ ialah perisian ‘antispyware’ yang disertakan dengan Windows dan berjalan secara automatik apabila ia dihidupkan. Tetapi kamu juga perlu sentiasa mengemas kini Windows Defender bagi memastikan pengesanan ‘spyware’ terbaru.

Cara aktifkan dengan ke butang ‘start’, taip ‘defender’ dalam kotak carian dan kemudian ke windows defender.


11. Tidak dapat jalankan Windows - Jika kamu masih dapat boot dalam ‘safe mode’ (F8 pada start-up) masalah ini mungkin berkaitan dengan perisian dan bukannya perkakasan. Cuba menggunakan ‘system restore’ jika kamu berada dalam ‘safe mode’ atau memulihkan (recovery) untuk kembali pada tarikh sebelumnya.

Jika kamu tidak dapat boot ke ‘safe mode’, cuba boot ke dalam komputer dalam mod ‘repair my computer’ untuk memperbaiki masalah isu ‘start-up’ itu.


Tak terlepas, masalah berkaitan teknikal. Apa kata kita kenal pasti beberapa masalah berkaitan tenikal yang masih boleh kita selesaikan sendiri.

12. Kehilangan fail ‘Dynamic-Link Library’ (DLL) - DLL ialah fail maklumat dalaman bagi sistem operasi kamu mengenai bagaimana untuk melaksanakan fungsi tertentu. Kadangkala, DLL boleh hilang dan rosak. Apabila tidak boleh membaca fail DLL tertentu, komputer kamu tidak tahu bagaimana untuk bertindak dalam sesetengah keadaan berkaitan.

Mesej ralat pemberitahuan akan dihantar ketika kamu cuba melakukan fungsi yang terbabit seperti penyimpanan. Jika masalah itu dikenal pasti akibat kehilangan atau kerosakan fail DLL, kamu perlu mengenal pasti fail DLL itu melalui beberapa kaedah seperti di www.processlibrary.com dengan mendapatkan nama proses (daripada Task Manager Windows) atau nama fail DLL dan mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai fail ataupun carian di enjin carian.


13. Blue Screen of Death (BSoD) - Sudah tentu semua pengguna komputer pernah mengalami masalah ini iaitu skrin tiba-tiba menjadi biru dan muncul teks yang berwarna putih. Sebenarnya ini adalah salah satu petanda yang berlaku masalah yang agak kronik.

Usah risau, kebanyakan masalah ini hanya memerlukan kamu untuk reboot semula. Ralat STOP muncul di skrin anda atas pelbagai sebab termasuklah kegagalan perkakasan, perisian rosak, fail DLL korup, masalah dengan pemacu dan sebagainya.

Penyelesaiannya lebih bergantung pada punca masalah tapi skrin menyediakan kamu dengan kod yang boleh membantu rujukan kamu mengenal pasti dan menyelesaikan masalah itu.


14. Ruang Disk penuh - Ia berlaku kerana kamu membiarkan bagi jangka masa yang lama disk komputer dipenuhi benda tidak berguna seperti fail Internet sementara, fail program yang dimuat turun, komponen pilihan Windows yang tidak digunakan, program yang dipasang tetapi tidak digunakan serta titik pemulihan yang tidak digunakan dan salinan daripada System Restore.

Remaja umpamanya, mereka gemar memuat naik pelbagai aplikasi menarik yang kemudiannya hanya membuatkan komputer peribadi menjadi berat dan perlahan. Sudah pasti ia memberi kesan kepada prestasi komputer.

Penyelesaian: Peralatan ‘disk cleanup’ membantu membebaskan ruang pada ‘hard disk’ dengan mengenal pasti fail yang selamat dipadam dan memberikan anda pilihan untuk memadamkan beberapa atau semua fail yang telah dikenal pasti.


15. ‘Hard drive’ gagal berfungsi - Ini adalah senario kes terburuk yang mana kegagalan sistem mungkin disebabkan ‘hard drive’ rosak atau korup. Kamu dapat mengesannya jika sistem kamu tidak dapat boot, tiada sistem operasi dikesan, komputer hang pada permulaan serta PC anda mengeluarkan bunyi aneh.

Jika kamu bimbang berkenaan keselamatan fail kamu, cuba langkah berikut sebelum menghantar ke kedai. Kamu boleh cuba untuk mengambil fail menggunakan CD boot dan cuba untuk menggunakan peralatan pemulihan sistem percuma seperti ‘SuperDuper’, ‘The Ultimate Boot CD’ dan sebagainya.


16. Windows out-of-date - Sesetengah pengguna berpendapat tidak perlu melakukan kemas kini pada Windows mereka walaupun mereka sebenarnya sedar ia perlu untuk menerima tetapan baru yang bertujuan untuk peningkatan prestasi.

Ini kerana mereka berpendapat ia akan dilakukan secara automatik. Bagaimanapun untuk keselamatan, kamu juga boleh lakukannya sendiri jika Windows sudah out-of-date.


17. Penggunaan memori berlebihan - Jika kamu mulai merasakan penggunaan memori yang berlebihan sehingga tindakan komputer mulai perlahan apabila kamu sedang menjalankan program tertentu, ia mungkin disebabkan oleh satu atau lebih program mungkin mempunyai kebocoran memori.

Untuk menghentikan kebocoran itu, kamu perlu menghentikannya dengan menutup program berkenaan. Untuk memperbaiki kebocoran memori itu, kamu perlu memeriksa kemas kini perisian program berkenaan atau hubungi empunya perisian.


Masalah berkaitan Internet

18. Carian rangkaian ‘wayerles’ - Jika dengan laptop, kamu sering kali bermasalah menyambung senarai rang­kaian ‘wayerles’ ketika kamu memerlukan sambungan Internet jika peranti anda tidak menyambungnya secara automatik. Rangkaian ‘wayerles’ hanya akan muncul jika peranti anda memiliki penyesuai rangkaian ‘wayerles’, ‘driver’ dipasang dan penyesuai diaktifkan.
Penyelesaian dengan melakukan tetapan secara manual.


19. Sambungan Internet perlahan - Tidak kira seberapa pantas pun sambungan Internet yang kamu miliki, kadangkala kamu dapat rasakan sambungannya sedikit perlahan daripada biasa. Windows menyediakan aplikasi troubleshooter yang akan secara automatik mencari dan menyelesaikan masalah sambungan biasa.


20. Masalah sambungan Internet - Masalah kehila­ngan sambungan Internet secara tiba-tiba ini ialah sesuatu konflik yang agak rumit kerana ia terjadi kerana banyak sebab. Perkara pertama yang boleh kamu lakukan, cuba jalankan troubleshooter Network (seperti di atas) untuk membantu diagnosis.

Jika ia masih tidak berjaya, cuba cari puncanya dengan mengingati perkara yang dilakukan sebelum masalah berlaku. Jika masalah ini berlaku selepas kamu memasang perisian baru, semak tetapan sambungan jika ia sudah berubah.

Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

”related